Rindu Semalam
Suasana pagi di kota London itu agak cerah walaupun tanpa matahari. Selepas bersarapan dengan secawan kopi panas dan sebiji muffin sebesar gengamannya di kafeteria, dia membelek-belek surat khabar Malaysia terbitan hari minggu yang lalu. Biasanya dia mengikuti perkembangan semasa tanah air melalui online newspapers dalam Internet tetapi hari itu dia berasa terpanggil untuk menatap akhbar mingguan itu. Dia membuka lembaran demi lembaran dan dia membaca dari satu berita ke satu berita, tiba-tiba matanya tertumpu kepada satu ruangan yang selama ini tidak pernah menarik perhatiannya. Dia membaca baris demi baris apa yang tertera di ruangan Sudut Puisi. Apa yang membuatkan dia begitu berminat untuk membaca hingga ke baris akhir ialah nama penulis yang tercatat di bahagian kaki puisi. Nama itu telah lama terpahat dalam diari mindanya, dan dia pernah berjanji untuk melupakan terus nama yang telah membuahkan kenangan pahit kepadanya 17 tahun yang lalu.
"Rindu Semalam"
Malam ini dingin mencuit hati
aku digamit rindu lagi
apakah pada waktu-waktu begini
aku masih kau ingati"
Dia membaca bait-bai puisi itu dengan penuh minat. Angin sejuk yang mencuri masuk dari celah dedaun jendela putih berkotak-kotak yang sedikit terbuka itu tidak terasa olehnya.
"Perpisahan yang sekian lama
menjadikan aku amat luka
nanar dalam kerinduan
resah dalam pencarian"
Dia menyambung lagi ke baris-baris seterusnya. Ada sesuatu yang menarik minatnya walaupun ia hanyalah sebuah puisi biasa seperti yang pernah dibacanya pada dada-dada akhbar dari Malaysia.
"Dalam mimpi-mimpi semalam
engkau yang sering datang
seperti mengingatkan aku
yang engkau tetap rindu padaku
walaupun aku kini
bukanlah aku yang dulu lagi"
Suraya Hanim Kuala Lumpur.
Baris-baris ayat itu terasa begitu menyentuh perasaannya. Dia meneruskan bacaannya hingga ke bait-bait akhir. Dia pasti puisi itu ditulis oleh Suraya Hanim yang pernah hadir dalam hidupnya dan dia pasti yang sajak itu ditujukan kepadanya. Perasaannya benar-benar terusik. Kenangan bersama Suraya amat payah untuk dilupakan. Gadis pertama yang mendapat tempat di hatinya semenjak dia masih berada di bangku sekolah lagi.
Lamunannya terhenti seketika sewaktu mendengar ketukan di pintu biliknya. "Masuk," jeritnya seakan-akan kesal dengan gangguan ketukan itu. Rasanya ingin dia menjelajah kembali memori silam dengan Suraya untuk seketika.
"Hai, kenapa ni? Macam ada yang tak kena saja," tegur Khairil sebaik sahaja dia menjelma dari arah pintu dan melihat Azman tersandar di kerusi biru muda di dalam biliknya.
"Eh, tak adalah. Aku tengah mengelamun tadi," jawabnya sambil menunjukkan puisi yang tersiar di dalam akhbar."Suraya Hanim? Siapa tu?" tanya Khairil.
"Dia adalah idola aku yang telah menjadi milik orang lain," Azman menjelaskan.
"Engkau yakin dia yang tulis?" Khairil menyoal.
"Aku pasti" Azman mengesahkan. "Aku tahu gaya bahasanya."
"Engkau jangan perasan sudahlah," Khairil mengusik.
"Macam manalah agaknyadia sekarang. Teringin juga nak contact balik, just to make sure that she's fine, " dia seperti meminta pendapat Khairil.
"Hey, jangan cari pasal, kan kau kata dia tu dah jadi isteri orang," Khairil membalas."Well, aku sekadar nak tahu tentang dirinya, itu saja. Aku rasa tak salah!" dia menambah.
"Okay, ceritalah sikit, engkau pun mana pernah cerita pasal perempuan kepada aku," Khairil menunjukkan minat.
"Aku kenal Suraya sejak kami sama-sama di bangku sekolah lagi. Bila aku dapat tawaran ke Maktab Perguruan di Johor, bermulalah detik perpisahan aku dan Suraya. Selepas tamat latihan aku telah di hantar mengajar di Ulu Tembeling, Pahang."
" K e m u d i a n ? " Khairil sernakin berminat sambil jejarinya mengutil-ngutil jerawat di bawah dagu.
"Selama di pedalaman,aku jarang menulis surat kepada Suraya sebab aku terlalu sibuk dengan jawatan di sekolah aku mengajar itu. Lagipun di kampung tu tak ada pejabat pos, kalau nak kirim surat aku kena keluar berbatu‑batu ke pekan. Perkhidmatan telefon pun tak ada. Itulah yang membuatkan aku jarang membalas surat-surat daripada Suraya. Aku beritahu Suraya yang aku akan mengambil STPM dan berharap dia faham dengan keadaan aku. Aku ambil STPM pun sebab aku harap dapat masuk universiti. Jadi aku dapatlah keluar dari daerah yang telah membuatkan aku kadang kadang terlupa kepada Suraya," dia bercerita tanpa henti.
"Aku dapat bayangkan macamana perasaan kau waktu itu. Kalau aku jadi engkau, tak sampai sebulan aku dah minta tukar sekolah. Aku kira engkau ni sabar juga orangnya." Khairil memuji Azman.
"Suraya dapat kerja di sebuah firma di Kuala Lumpur dan dia telah melupakan hasratnya untuk meneruskan pengajian di tingkatan enam. Dia mengambil keputusan untuk bekerja dahulu dan akan sambung belajar kemudian kerana dia lebih berminat menulis cerpen dan sajak untuk terbitan akhbar dan majalah tempatan. Aku merestui hasrat dan cita-cita Suraya yang ingin menjadi penulis. Aku masih juga tidak berterus terang tentang perasaanku kepada Suraya." Azman bercerita lagi setelah melihat Khairil menarik kerusi dan duduk.
"Habis tu?" Khairil terus menyoal. "Hendak dijadikan cerita, aku ditimpa kemalangan semasa menunggang motosikal ke pekan dengan beberapa orang kawan. Kaki dan tangan aku patah, terlantar di hospital selama tiga bulan. Masa itu rindu aku kepada Suraya hanya tuhan saja yang tahu tapi apakan daya, aku tak dapat menghubunginya. Aku sedih mengenangkan nasib aku terbuang jauh nun di pedalaman. Kalaulah aku dah berterus terang kepadanya tentang perasaan aku, sekurang-kurangnya dia akan datang melawat dan merawat aku waktu tu. Bila keluar dari hospital, aku berehat di rumah sehingga cuti sakit aku habis. Aku bercadang untuk memberitahu Suraya tentang hasrat aku bila aku balik kampung semasa cuti sekolah tapi sayang bila aku sampai di kampung emak aku beritahu yang dia telah bertunang dengan orang Kuala Lumpur. Aku tak percaya, Khairil. Aku telefon Suraya di pejabatnya. Dia terkejut mendengar suara aku."
"Kenapa Suraya bertunang dengan orang lain? Tak kan engkau tak tahu dia dah ada orang lain semasa dia di KL?" Khairil bertanya.
"Aku tak terfikir pun yang ada orang lain akan mendahului aku sebab masa tu Suraya baru masuk dua puluh satu, dia masih terlalu muda untuk berumah tangga. Aku rasa tak perlu terburu-buru," Azman menerangkan.
"Engkau ni terlalu yakin dengan dia. Berbagai perkara boleh berlaku di Kuala Lumpur," Khairil menyebelahi Suraya.
"Engkau tahu masa aku tanya dia kenapa bertunang dengan orang lain dan tak tunggu aku, dia hanya mampu menangis. Tiga hari selepas itu aku terima surat daripadanya. Katanya dia sedih sebab ditinggalkan begitu saja. Dia tak tahu kedudukan sebenar perhubungan kami. Dia takut nak mengharapkan aku, kalau-kalau aku menganggap dia hanya sebagai kawan biasa. Dia akui memilih untuk bertunang setelah memikirkannya masak-masak dan yakin aku tidak serius dalam perhubungan kami. Itulah surat terakhir daripada Suraya yang comot dengan titisan air masa di atas kertas yang ditulisnya."
"Ya, Suraya tidak bersalah. Sebagai seorarig perempuan, dia memerlukan kepastian dan engkau pula terlalu yakin yang dia akan setia. Sedangkan dia tak tahu kedudukan perhubungan engkau berdua. Sebenarnya Man, kalau kita mencintai seseorang kita kena luahkan dan bersedia untuk menerima apa saja jawapannya," Khairil mengiyakan keputusan Suraya.
"Itulah kelemahan aku. Aku tak tahu meluahkan perasaan. Aku betul-betul nanar dengan perkahwinan Suraya. Setahun kemudian aku dapat masuk universiti jadi kepedihan itu dapatlah aku kikis sedikit demi sedikit. Yang peliknya aku tak pernah jatuh hati pada sesiapa pun semasa aku di maktab hinggalah di kampus. Aku kahwin dengan Zila pun atas pilihan orang tua aku," dia meluahkan perasaannya. Ada getaran dalam suara itu dan sebak di hujung kata-katanya.
"Bila kali terakhir engkau jumpa dia?""Sepuluh tahun lalu, pertama kali berjumpa kembali selepas tujuh tahun dia berkahwin. Itupun kebetulan pada tahun yang sama kami berhari raya di kampung. Aku diperkenalkan dengan suaminya di luar kawasan masjid selepas solat Aidilfitri. Aku nampak dia bahagia, ada ceria di wajahnya waktu itu. Bagi aku dia masih cantik dan aku asyik tersasul ketika berbual dengan suami Suraya," dia mengimbas kembali pertemuannya dengan Suraya.
"Man, sebagai kawan aku simpati dengan cinta yang tak kesampaian engkau dengan Suraya. Tuhan lebih mengetahui mana yang terbaik untuk kita. Adalah hikmahnya kenapa engkau tak ada jodoh denganya. Zila pun apa kurangnya. Okaylah Man, kita sambung lagi lain kali," Khairil meminta diri.
Tanpa disedari dia telah berada di bilik Azman hampir satu jam."Khairil, thanks sebab sudi mendengar pengalaman aku," dia menepuk bahu Khairil.
Khairil mencapai kot labuh bewarna coklat tua yang disangkutnya di atas kerusi dan menyarungnya kembali."Man, jangan lupa kita ada perjumpaan dengan wakil pelajar selepas lunch pasal scholarship mereka," Khairil mengingatkannya sebelum keluar daripada bilik.
Azman mengangguk. Baru dia teringat yang dia dan Khairil ada temujanji dengan wakil pelajar tajaan organisasinya. Sebagai pegawai yang mengurus hal ehwal pelajar di London, Azman merasakan tanggungjawab yang diamanahkan perlu diselesaikan dan dia tidak boleh membiarkan emosinya terganggu hari itu. Azman bangun dan membuang pandangannya jauh ke luar jendela. Dia menyaksikan tulip dan dafodil yang beranika warna tumbuh segar di taman di luar pejabatnya dan dia membayangkan seolah-olah Suraya berada di antara bunga-bunga itu dan sedang tersenyum kepadanya di musim bunga itu.
"Suraya, how I wish I could share these memories with you," bisiknya perlahan. Petang itu selepas waktu pejabat Azman tidak terus ke stesen keretapi bawah tanah yang dikenali tube di Enbankment seperti biasa. Biasanya dia akan mengambil perkhidmatan tube dari stesen itu untuk pulang ke apartmennya di Queen's Gate, Kensington. Azman berjalan kaki menyusuri tepian Sungai Thames hingga ke London Bridge. Dia melabuhkan punggungnya di bangku kayu yangmenghala ke Sungai Thames dan menyaksikan bot-bot kecil yang membawa pelancong menongkah arus sungai yang memisahkan kota London dengan Greenwich itu.
Matanya sesekali tertumpu kepada beberapa orang pelukis jalanan yang asyik bermain dengan cat warna. Azman ternampak Suraya berada di antara pelukis-pelukis itu dan sedang asyik melakar kanvas putih yang terbentang di hadapannya. Jari jemari Suraya lembut mewarnai sebuah lukisan yang menggambarkan seorang wanita tua yang setia menunggu di tepian Sungai Thames. Dia terasa ada air jernih yang bergenang di kelopak matanya. Buat pertama kali, dia benar-benar merasakan rindu yang amat sangat kepada Suraya. Tanpa disedarinya dia telah lama berada di bangku kayu itu lalu menuju ke stesen tube Monument yang berhampiran.
Malam itu minda Azman tidak berhenti memikirkan tentang Suraya. Dia bersendirian di balkoni apartmentnya yang menghala ke deretan apartment mewah di Kensington Street sambil menyedut beberapa batang rokok. Angin dingin yang seakan menampar mukanya membuatkan dia tidak selesa lalu bangun menuju ke mejakomputer di bilik bacaannya. Dia menulis semula puisi Rindu Semalam dan disimpannya ke dalam thumbdrive.
Azman yakin itulah perasaan sebenar Suraya yang terpendam selama tujuh belas tahun. Kini Azman merasa rindu semalam datang lagi, namun jauh di sudut hati Azman rasa bersalah kerana terlanjur menyalakan rindu itu semula. Dia ternyata kalah dalam perang rindunya kepada Suraya walaupun dia tahu tidak mungkin memiliki cinta itu kembali kecuali dengan takdir Tuhan. Azman pasrah.
Blossom©
Damansara Heights
Cerpen ini telah diterbitkan di dalam majalah Bisik-Bisik No. 17/1999
Thursday, November 27, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment