Nota yang ditinggalkan di atas meja kopi antik Cina di ruang tamu itu dibacanya sekali lagi. Tuan Kudus benar-benar merasa terkejut dengan sebaris ayat yang agak puitis tertulis "Aku pergi untuk mencari diriku yang telah hilang". Tuan Kudus terduduk di atas sofa kulit Lorenzo dari Italy yang berwarna peach tua itu. Matanya memandang sekeliling, sunyi dan terasa kosong sekosong perasaannya petang itu. Dia tidak menyangka sama sekali Cik Puan telah membuat keputusan drastik di luar dugaannya sama sekali. "Tapi ke mana?" Dia menyoal dirinya sendiri.
Puas Tuan Kudus memikirkan apakah yang membuatkan Cik Puan begitu nekad untuk keluar dan rumah dengan meninggalkan nota sedemikian sedangkan dia pasti benar yang mereka tidak berselisih faham dalam seminggu dua ini. Cik Puan bukannya muda lagi andai kata Cik Puan keluar rumah mengikut teman lelaki. Cik Puan telah pun berusia empat puluh lapan pada harijadinya baru lepas. “Oo..oo, aku terlupa harijadinya minggu lepas, mungkin dia merajuk. Tapi dulu pun aku pernah terlupa harijadinya tapi dia tidak merajuk pun. Mungkin bukan sebab itu." fikir Tuan Kudus.
Tuan Kudus masuk ke dalam kamar tidur dan membuka almari pakaian Cik Puan. Tidak banyak pakaian yang dibawa Cik Puan, kemudian dia membuka laci barang kemas Cik Puan yang tidak berkunci. Dilihatnya rantai labuh pemberiannya tidak dipakai oleh Cik Puan. Puas dia memikirkan mengapa agaknya Cik Puan bertindak demikian. Apakah yang telah mengganggu fikiran Cik Puan dia benar¬ benar tidak tahu.
Tuan Kudus kembali ke ruang tamu. Dia menghempaskan badannya ke atas sofa fabrik berbunga-bunga halus dengan warna-warna pastel kegemaran Cik Puan yang dibelinya dari pusat perabut terkenal Ikea. Dia cuba untuk menonton TV sementara menunggu anak-anaknya pulang dari kerja tetapi dia tidak dapat memusatkan perhatiannya ke kaca TV itu. Dia terasa amat sunyi dengan suasana sepi begitu. Padahal hari-hari pun dia menonton TV di situ kesaorangan kerana Cik Puan sibuk di dapur menyediakan makan malam dan selalunya selepas makan Cik Puan sibuk pula mengemas dapurnya. Tuan Kudus biasanya akan mencapai surat khabar atau majalah bisnes dan membacanya sebelum masuk tidur atau dia bersantai sambil mendengar muzik jazz kegemarannya hingga kadang kala dia tertidur di sofa itu.
Lamunan Tuan Kudus terhenti apabila dia mendengar bunyi deruman enjin kereta di luar. Dia bangun dan menerpa Sophian dan Sophia sebaik saja mereka menjengah di muka pintu kayu bercat putih itu. Tuan Kudus membuntuti kedua-dua anaknya yang kepenatan dan dia kembali duduk di sofa tadi sambil menhulurkan nota Cik Puan kepada Sophia sebaik saja Sophia melabuhkan punggungnya di sofa panjang. Airmata Sophia tiba-tiba menitis jernih membasahi pipi. Dia terharu dan teringat tentang Cik Puan.
“Mummy sakit ke? Tanya Sophia apabila dilihatnya muka Cik Puan kelihatan pucat."
"Tak, Mummy tak apa-apa cuma Mummy rasa sunyi sikit akhir-akhir ini." Jawab Cik Puan pendek.
“Nanti Sophia bawa Mummy pergi makan angin, tunggulah bila Sophia free.” Itulah janji Sophia pada Cik Puan namun hingga kini Sophia masih belum berkesempatan untuk membawa Cik Puan pergi bercuti makan angin. Profesyennya sebagai akauntan di sebuah syarikat audit di ibu kota membuatkan masanya lebih banyak di pejabat dari di rumah. Kadang-kadang pada hari minggu pun dia terpaksa bekerja. Sophia agak terkilan kerana dia tidak meluangkan masa untuk ibunya yang kesepian itu sepertimana yang dia janjikan.
“Kita cuba cari dulu di rumah kawan-kawan Mummy atau ke tempat-tempat yang biasa dia pergi.” Sophian memecah kesunyian apabila mereka membisu seketika.
“Papa malu bila Mummy kamu bertindak macam ni. Dah tua-tua buat hal”. Tuan Kudus merungut menunjukkan kekesalannya.
“Mesti ada perkara yang benar-benar mengganggu Mummy sehingga dia bertindak macam ni.” Sophia membalas.
“Papa tak kan tak perasan perubahan Mummy!” Sophian seolah-olah menyalahkan Tuan Kudus.
Tuan Kudus diam dan menyandarkan kepalanya kebelakang sambil menggosak-gosakkan mukanya beberapa kali. Dia resah tetapi masih mampu mengawal perasaannya sebaik mungkin. Seingat dia, dia tidak perasan apa-apa perubahan pun pada diri Cik Puan. Yang dia ingat Cik Puan pernah memberitahunya yang dia telah mengalami menopause dan mengharapkan Tuan Kudus faham akan emosinya yang kadang-kadang tidak menentu. Tuan Kudus ada membaca tentang gejala-gejala dan kesan menopause dari buku A-Z Health Guide yang dibelinya di Pesta Buku Antarabangsa dulu.
“Malam ini kita jangan cari Mummy dulu, kita tunggu Sobry balik”. Sophian memberikan cadangan supaya menunggu kepulangan adik bongsunya dari pejabat.
Pagi itu mereka telah pergi ke beberapa rumah kawan-kawan Cik Puan kalau kalau Cik Puan pergi bermalam di salah satu rumah kawannya tapi Cik Puan tidak ada di sana. Mereka tidak membuat laporan polis dengan harapan Cik Puan akan menelefon atau balik kerumah semula setelah fikirannya kembali tenang. Penantian mereka selama seminggu benar-benar mengganggu jadual harian anak beranak itu yang selama ini tenang sahaja. Sophialah yang paling terasa akan kehilangan Cik Puan.
Malam-malam yang dilalui oleh Tuan Kudus sungguh menyiksakan. Dia tidak dapat melelapkan matanya walaupun puas dia cuba untuk tidur seperti selalu. Kalau dia terlelap pun biasanya malam telah sampai ke penghujungnya dan kadang-kadang dia terjaga dari tidurnya bagai terdengar-¬dengar suara Cik Puan. Kesihatan Tuan Kudus makin terganggu. Dia telah memohon cuti rehat selama dua minggu untuk mencari Cik Puan. Tuan Kudus benar-benar kesal kerana tidak pernah mengambil tahu siapakah lagi teman-teman rapat Cik Puan selain dari yang telah dia temui sepanjang dua minggu itu. Dia jarang melihat Cik Puan bercakap di telefon dan merasakan Cik Puan bagaikan tidak mempunyai kawan rapat. Inilah yang menyulitkan lagi keadaan. Cik Puan yang dikawininya dua puluh empat tahun yang lalu adalah seorang gadis berbangsa Filipina yang nama asalnya Maria Elberto. Dia mengenali Maria seorang guru muzik dan juga pelukis di satu majlis reception di Kedutaan Filipina.
Tuan Kudus tiba-tiba teringat seorang lagi kawan Cik Puan yang bernama Saadiah Lee binti Abdullah. Saadiah Lee adalah kawan Cik Puan yang pernah bermalam di rumahnya semasa Saadiah menjadi saudara baru kira-kira tujuh tahun yang lalu. Dia masih ingat di mana Saadiah tinggal kerana mereka pernah membantu Saadiah pindah ke apartmen yang dibelinya di Bukit Angsana. Tuan Kudus tidak menemui nombor telefon Saadiah di dalam senarai telefon di rumahnya. Mereka terus pergi ke Bukit Angsana tengahari itu. Dengan bantuan pengawal keselamatan mereka dapat menyemak senarai nama penghuni dan memang nama Saadiah Lee ada tersenarai sebagai penghuni Apartmen Bukit Angsana.
Kedatangan Tuan Kudus dan anak-anaknya tidak mengejutkan Saadiah kerana dia memang menjangkakan lambat laun Tuan Kudus pasti akan mencari Cik Puan di rumahnya. Saadiahlah tempat Cik Puan mengadu segala sakit peningnya dan segala masalahnya. Saadiah adalah pendengarnya yang setia.
Cik Puan enggan keluar dari biliknya walau pun diberitahu tentang kedatangan suami dan anak-anaknya. Akhirnya Sophia meminta izin dari Saadiah untuk masuk ke bilik. Sebaik saja Sophia masuk, dua beranak itu telah berpelukan dan menangis teresak-esak.
"Kenapa Mummy buat macam ni? Sophia bersuara sebak sebaik saja Cik Puan melepaskan pelukannya.
"Mummy bukan tak sayang you all, tapi Mummy dah fikir semasak-masaknya sebelum buat keputusan drastik begini".
“Tapi kenapa Mummy! Apa salah kami. Kalau Mummy ada masalah, kita patut bincang." Sophia memujuk.
"Sophia, Mummy dah lama benar menjalani kehidupan sebagai orang lain, berilah Mummy kesempatan yang ada ni untuk Mummy lakukan apa yang Mummy suka".
"Tapi kenapa mesti Mummy bertindak lari jauh dari kami. Mummy masih boleh buat apa yang Mummy suka di rumah kita. Mummy bebas melakukan apa saja, katakanlah."
"Tidak Sophia. Kamu silap. Mummy ingin berpisah dengan papa kamu supaya Mummy tidak berdosa padanya. Tanggungjawab Mummy membesarkan kamu semua dah selesai. Mummy telah melihat selama ini kehadiran Mummy hanyalah sebagai pelengkap rumah tangga sahaja, tidak lebih dari itu. Mummy tidak rasa di mana kasih sayang sebenarnya jika diri Mummy terpinggir di dalam rumah sendiri. Mummy nampak kebahagiaan di sini. Mummy dapat ketenangan di rumah Saadiah ini."
"Tapi kami semua sayangkan Mummy, mungkin kami tak pandai menunjukkan kasih sayang, dan kami silap selama ini kerana tidak mengambil berat tentang diri Mummy kerana terlalu sibuk dengan hal masing-masing. Maafkan kami, Mummy".
“Sophia, Mummy akan failkan tuntutan untuk bercerai dalam seminggu dua ni. Mummy sudah berbincang dengan seorang peguam yang juga kawan Mummy. Pihak pejabat kadi akan meluluskan perceraian ini kerana Mummy akan dilihat sebagai isteri yang derhaka kerana keluar dari rumah tanpa izin suami. Tapi Mummy tidak akan berdosa lagi dengan suami selepas ini.”
“Mummy, fikirlah baik-baik. Bercerai itu tidak disukai Allah walaupun ianya dibenarkan oleh agama kalau Mummy dan Papa memang tidak sehaluan lagi. Apa kata orang nanti, kesianlah pada Papa”. Sophia merayu.
“Mummy sudah tidak dapat menipu hati Mummy lagi. Mummy dah fikir sedalam-dalamnya dan Mummy akan bebas melakukan kerja-kerja Mummy yang terbengkalai selama dua puluh empat tahun."
"Apa maksud Mummy? Kerja apa? Sophia menyoal tidak sabar.
Cik Puan bangun lalu melangkah ke arah satu sudut jendela di kamar seluas lapan kali lapan kaki itu. Dia menyingkap sehelai kain biru yang menutup sebuah lukisan yang menggambarkan berpuluh-puluh orang berpakaian jubah berwarna hitam dan putih sedang berbaris di tengah-tengah padang pasir yang lapang berwarna kuning keemas-emasan. Sophia terpegun dengan lukisan yang amat menarik dan sungguh artistik itu. Lukisan yang diberikannya judul Mystique itu bagi Sophia sudah menggambarkan ada keanehan dan kepelikan di dalam sikap ibunya itu.
Sophia pernah terbaca satu ayat tertulis "Modern painting developed its own mystique" di dalam satu catatan ibunya tentang lukisan dan kini dia faham mystique dalam senilukis telah meresapi dan mempengaruhi jiwa dan minda ibunya sehingga dia tidak mahu berfikir apa-apa lagi. Sophia pernah melihat lukisan yang tidak siap itu di dalam stor di rumahnya. Dia tidak menyangka sama sekali yang itulah kerja yang paling berharga yang ingin di teruskan oleh ibunya. Sophia bingung.
“Untuk pengetahuan Sophia, lukisan Mystique ini sudah ada pembelinya yang sanggup menawarkan lapan ribu ringgit.”
"Sophia bangga dengan hasil kerja Mummy, tapi Mummy boleh melukis di rumah kita. Sophia akan jadikan satu bilik di rumah kita sebagai studio untuk Mummy bekerja." Sophia memujuk.
‘No! Your father will never like it. Sophia tak tahu macamana hancurnya hati Mummy bila Papa campakkan lukisan Mummy tu ke dalam stor? Macamana sedihnya Mummy bila Papa delete fail puisi-puisi Mummy dari PC? Sophia tak ingat cerita Mummy dulu? Rumah kita kosong. Tiada satupun lukisan yang dapat Mummy gantung sebagai penghias dinding!.”
____________________________
"Kenapa Mummy menangis?" Sophia yang baru balik dari sekolah terkejut melihat ibunya menangis.
"Papa balik dari kerja lebih awal dari biasa hari ini. Mummy asyik melukis dari pagi tadi sampai belum masak untuk tengahari. Mummy baru dapat idea mencipta satu corak batik ekslusif untuk seorang kawan.”
“Kawan yang mana?”
“Dia pengeluar batik tulis tangan di Kelantan. Dia minta Mummy reka satu corak baru untuk scarf.”
"Lepas tu?"
"Papa marah Mummy melukis, dia ambil semua peralatan melukis Mummy dan dicampakkannya bertaburan keluar rumah dan dia beri amaran pada Mummy".
"Tentu ada sebab kenapa Papa marah sangat. Papa tak suka lukisan?
"Memang dulu Papa peminat lukisan tapi Papa sebenarnya berdendam dengan seorang pelukis yang ditemuinya di Pasar Budaya. Papa sukakan satu lukisan yang menggambarkan seorang petani sedang mengangkat sebuah guni beras di atas bahunya dan berlatarbelakangkan sebuah sawah padi yang sedang menguning. Lukisan tu sungguh detail sampaikan butir-butir padi yang jatuh bertaburan dapat di lihat di atas batas sawah. Baju petani yang robek itu telah meyentuh hati Papa. Kata pelukis tu, harganya lima ribu ringgit sebab lukisannya hanya satu dalam setiap karyanya. Walaupun pelukis tu bukan pelukis yang ada nama, tapi Papa setuju membeli lukisan yang memberi erti kepadanya. Sawah padi adalah kenangan pada Papa yang berasal dari keluarga petani. Papa dibesarkan dengan beras kampung yang ditanam sendiri oleh datukmu".
"Lepas tu? Sophia tidak sabar-sabar untuk mendengar cerita tentang ayahnya.
"Semasa papa menghadiri satu seminar di Bangkok, Papa ambil kesempatan mengunjungi satu galeri seni dan di sana Papa terlihat lukisan yang sama benar dengan yang dibelinya dari pelukis di Pasar Budaya. Papa teliti lukisan itu betul-betul dan Papa diberitahu yang pelukisnya ialah seorang artis Thailand bernama Vitsuni Suparkhorn. Papa diberitahu yang lukisan tu adalah original dan boleh dibeli dengan harga lima ratus US Dollar, waktu tu lebih kurang seribu lima ratus ringgit duit kita. Papa sungguh terkilan, kesal dan marah dengan penipuan pelukis di Pasar Seni yang meniru karya pelukis Thailand itu. Bila balik kerumah Papa keluarkan lukisan tu dari bingkainya dan mencampakkannya ketepi. Papa kesal kerana dia tidak arif dalam menilai lukisan dan tidak mampu mebezakan yang mana karya asli dan tiruan. Papa pun tidak merujuk pada Mummy sebelum membeli lukisan tu, sekurang-kurangnya dengan pengetahuan Mummy dalam bidang senilukis dapat juga Mummy memberikan pandangan.”
“Habis tu?
"Papa pergi semula ke Pasar Budaya, malangnya pelukis tu sudah tidak ada di situ lagi. Menurut peniaga-peniaga di sekitar gerai lukisan tu, pelukis tu telah lama tidak datang ke kedainya dan mereka tidak tahu ke mana dia menghilang".
_________________________________________
“Ya, Sophia ingat kisah tu Mummy, tapi Papa tentu setuju kalau Mummy balik dan melukislah semula”.
"Tidak Sophia, bagi seorang anak seni, dia tidak boleh bekerja kalau dia tahu orang tidak suka pada kerjanya dan tidak menghargai bakatnya. Orang seni ni jiwanya halus, mudah tersentuh. Mummy sudah nekad yang Mummy tak akan melukis di dalam rumah kita dan tak akan melukis di depan orang yang mendendami pelukis. Mummy harap Sophia faham.”
Barulah Sophia mengerti kini kenapa kadang-kadang ibunya keluar tanpa memberitahu dia kemana hingga seringkali menimbulkan curiga dan kemarahan ayahnya apa lagi bila ibunya sangat berahsia. Sophia tahu tentu ibunya sesekali mengunjungi kawan-kawannya yang sama minat dengannya.
Cik Puan menghulurkan sebuah dairi usang berwarna hitam kepada Sophia. Sophia membaca baris demi baris catitan perasaan Cik Puan selama ini.
"Jangan you nak buang masa dengan melukis. Tak sampai kemananya lukisan you tu.. I benci pelukis sebab hidup mereka penuh dengan fantasi dan khayalan. Mereka menipu orang dengan palitan warna yang entah apa-apa, lepas tu jual dengan harga beribu-ribu ringgit.” Inilah penghinaan yang entah keberapa kali terhadap kerja seniku. Dendamnya pada pelukis yang pernah menipunya itu telah dilampiaskannya kepada aku”.
"Hari ini harijadiku. Mereka lupa lagi. Aku tidak mengharapkan hadiah yang berharga tetapi cukuplah sekadar ucapan atau sekeping kad yang murah"
"Aku kecewa sebab mereka tidak setuju untuk pergi ke Balai Senilukis hari ini. Kata mereka buat apa buang masa melihat lukisan yang entah apa-apa. Pameran lukisan dari negara-negara ASEAN terlepas begitu saja".
"Sophia tidak menegurku sudah dua hari. Dia kepenatan. Aku rindu untuk berbual-bual dengannya. Janji Sophia untuk membawa aku makan angin berlalu begitu saja".
"Aku bincang dengan Saadiah tentang niatku. Saadiah tidak membantah, Aku akan buat kejutan. Tunggu masa yang sesuai".
Sophia tidak sanggup lagi untuk membaca catitan perasaan Cik Puan seterusnya. Ternyata Cik Puan meluahkan perasaannya hanya ke dalam dairi. Sophia sedar betapa ibunya adalah seorang yang berjiwa sensitif tetapi bijak mengawal perasannya demi untuk tidak melukakan perasaan orang-orang di sekelilingnya. Tapi hari ini Cik Puan telahpun melukakan hati seluruh ahli keluarga Tuan Kudus yang selama ini meminggirkan kehadirannya yang bernama isteri dan ibu itu.
Sophia melangkahkan kaki keluar dari kamar itu dengan pandangan yang berpinar-pinar dan dia terjelepuk jatuh di luar pintu bilik tanpa sempat menerangkan hal yang sebenar kepada Tuan Kudus, Sophian dan Sobry yang menunggu di ruang tamu sejak tadi.
Oleh: Blossom
Friday, December 19, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment